Inception, filem sains fiksyen yang paling saya minat dan sudah menontonnya lebih daripada 5 kali. Filem ini bersifat enigmatik. Setiap kali saya ulang tonton, fahaman saya kepada jalan ceritanya pasti berbeza.

Minggu lepas, saya ulang tonton filem ini untuk kali yang entah ke berapa. Kali ini saya memahami mesej filem ini dari sudut yang belum pernah saya jumpa.

Apa yang saya nampak, filem Inception adalah gambaran kehidupan kita yang taksub dengan alam maya iaitu dunia media sosial dan bahaya yang menanti. Benarkan saya beri sinopsisnya dahulu.

Dominick Cobb, lakonan Leonardo DiCaprio ialah seorang penggodam mimpi yang masuk ke dalam mimpi seseorang untuk mencuri maklumat sulit khususnya daripada golongan korporat. Ini adalah satu jenayah licik untuk menjatuhkan empayar perniagaan.

Namun begitu tugasan kali ini bukan lagi untuk mencuri, tetapi menanamkan idea di dalam minda bawah sedar seorang CEO muda (Robert Fischer) supaya beliau membubarkan syarikat milik ayahnya. Cobb dibantu oleh beberapa ahli penggodam untuk memastikan proses penanaman idea ini berjalan dengan sempurna.

……

Filem Inception ini mengambarkan dunia media sosial yang kita guna setiap hari. Setiap hari pelbagai idea ditanam di dalam minda kita melalui propaganda, berita palsu, hiburan kejam, ilmu sesat.

Semakin hari semakin kuat ketagihan sehinggakan dunia realiti tidak lagi menjadi penting. Bangun sahaja dari tidur, perkara pertama yang kita akan buat ialah menyemak notifikasi yang masuk ke telefon pintar/komputer. Mengharapkan adanya mesej dari dunia sana.

Cobb yang saya bayangkan adalah pencipta ‘dunia media sosial’. Terilham daripada idea escaping reality, satu alam yang sempurna, tidak perlu makan, tidak perlu tidur, tiada tanggungjawab kepada keluarga. Cobb kemudian membawa isterinya (Mal) masuk di dalam dunia itu. Inilah kesilapan terbesar Cobb. Memperkenalkan isterinya kepada dunia fantasi yang mengkhayalkan.

Oleh kerana dunia baru ini boleh digubah mengikut keinginan dan imaginasi, Mal menjadi ketagih sehingga sanggup melupakan anak-anaknya di dunia sebenar. Malah Mal enggan membenarkan suaminya mendekati dia di dalam dunia sebenar walaupun Mal sangat menyayangi Cobb di dunia satu lagi.

Cobb di dalam dunia itu digambarkan sebagai seorang suami yang romantis, penyayang, sempurna dan mampu membahagiakannya.

Bukankah ini yang berlaku di media sosial? Suami isteri menayangkan episod cinta mereka kepada dunia dengan berkongsi cerita manis, video romantis, gambar hadiah dan sisipan madah cinta. Masing-masing cuba menghidupkan Laila dan Majnun di dunia maya, seolah-olah hubungan mereka ini adalah yang terulung dan sukar dipisahkan.

Realitinya, masing-masing punya kekasih gelap atau sedang dalam proses perceraian.

Segalanya dihamparkan dengan begitu cantik sekali. Kita pilih dan guna gambar profile yang paling menarik untuk menunjukkan sisi sempurna kita. Kemudiannya kita bina karakter berdasarkan alter-ego supaya imej yang dipaparkan di dalam dunia ini dihormati dan dipandang serius.

Contohnya:

Saya yang cacat ini tidak kelihatan cacat di dunia fb namun di luar, saya adalah wanita yang nampak huduh, lemah dan tidak berkepentingan di dalam komuniti.

Beruntungnya saya ni, saya mempunyai kelebihan menulis dengan baik. Jadi dengan menggunakan kuasa tulisan, saya cipta satu identiti. Di fb saya dilihat sebagai seorang yang kuat, lantang, berani, bersemangat, serius dan sesekali kelakar.

Imej yang saya bentuk itu adalah untuk mendapat tempat yang baik di dalam dunia maya. Tapi di dunia sebenar, tak ada orang peduli pun, malah dicaci.

Begitu juga dengan perkongsian gambar makanan yang cukup menarik cara hidangannya. Kawan² di dunia maya ini memuji betapa beruntungnya kita kerana dapat makanan yang sedap, sedangkan dalam sebulan, mungkin itulah satu-satunya makanan enak yang dapat dijamah.

Atau mungkin juga gambar itu dikongsi sekadar untuk menunjukkan yang kita ni rajin di dapur. Secara terancang, kita mahu dilihat sebagai seorang isteri yang ideal, juga ibu yang mithali. Hakikatnya, kadang-kadang anak makan nasi dengan telur goreng kicap sahaja.

Di dalam dunia fb ini, kita kumpul beribu kawan berpuluh ribu pengikut. Which is weird for me. Pengikut? Dah rasa macam ketua kumpulan ajaran sesat pun ada.

Kembali kepada filem Inception. Mal (lakonan Marion Cottilard) mengalami kemurungan yang serius akibat tidak mahu meninggalkan dunia mimpi itu. Jadi terpaksalah Cobb mencipta satu skrip mimpi dimana Mal dan dia bersetuju untuk membunuh diri dengan berbaring di landasan keretapi (deactive and delete account).

Apabila seseorang itu ketagihan dunia sosial, agak sukar bagi mereka untuk berhenti secara mengejut dan tanpa rela. Mal yang terlalu bergantung kepada dunia itu untuk mencari bahagia, tidak boleh menerima perubahan itu. Pada Mal, dunia realiti ini tidak lagi sesuai baginya.

Lalu Mal mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkap hotel di malam ulangtahun perkahwinan mereka.

Saya pasti ada di antara kita punya keinginan untuk berhenti dari menggunakan media sosial tetapi ketagihan itu membuatkan kita tetap log-in. Media sosial adalah escapism for some.

Untuk commit ‘media social suicide’ bukan mudah. Siapa mahu tinggalkan syurga yang bertahun dibina untuk kembali ke neraka yang menyakitkan?

Babak yang berulang yang memberi kesan kepada saya ialah bayangan anak-anak mereka. Cobb dan Mal hanyut di dalam dunia mimpi mereka sehinggakan wajah anak-anak pun mereka tak mampu ingat. Apakah kita pun begitu?

Kita ambil gambar anak-anak, tampal di dalam dunia maya ini supaya dunia ini tidak sunyi dari kehadiran mereka. Kita hiasi akaun kita dengan segala yang sempurna. Dari suami, anak, isteri, makanan, pakaian (OOTD), tempat percutian, ideologi.

Kemudian kita pilih sahabat mengikut status sosial yang kita mahukan.

Dunia alternate yang kita bina ini, sooner or later boleh memusnahkan hidup jika kita hilang kawalan diri, atau menjadi seperti Saito, stayed in limbo.

Selepas menonton Inception kali ini, semakin kuat tekad saya untuk membunuh akaun fb ini dan kembali menikmati dunia realiti yang dipenuhi dengan cabaran, kasih sayang dan yang paling penting ialah, dunia yang sebenar ADA sempadan.

Tanpa media sosial, orang tak lagi tahu apa yang saya fikirkan, ke mana saya pergi, apa yang anak-anak buat, atau apa yang sedang viral.

Tahniah kerana berjaya membaca sehingga habis.

Advertisements